Recent Post

Breaking News
Loading...
Senin, 17 November 2014

Resume 9 - Sifat - Sifat Rosul

SIFAT-SIFAT YANG WAJIB BAGI RASUL

1.Siddiq/Benar
Siddiq bererti benar. Ia diambil daripada kalimah as-Sidqu iaitu mengatakan yang benar dan terang. Sifat benar ini wajib ada pada rasul. Ia menjadi sifat yang mutlak iaitu bersifat benar dalam semua perkara sama ada dalam percakapan, perbuatan dan hati. Apa yang disabdakan oleh para rasul dan para nabi adalah benar dan dibenarkan kata-katanya. Para nabi dan rasul mempunyai sifat siddiq iaitu membawa kebenaran.

2. Amanah
Perkataan amanah mempunyai pengertian khusus dan umum. Dalam pengertian khusus amanah bererti mengembalikan harta benda kepada yang mengamanahkannya. Manakala dalam pengertian khusus pula amanah memberi maksud menyembunyikan rahsia, ikhlas dalam memberi nasihat dan benar-benar menyampaikan sesuatu bila ditugaskan untuk menyampaikannya.
Sifat amanah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam seperti sifat-sifatnya yang utama adalah lengkap dan sempurna. Tidak diragukan lagi bahawa keluhuran budinya adalah penyumbang terbesar yang menyebar-luaskan risalah Allah. Baginda telah menyampaikan risalah itu kepada manusia dengan sebaik-baiknya. Bangsa Arab telah mengenal sifat amanah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam sebelum baginda diutus. Mereka memberinya dengan gelaran “Al-Amin” orang yang terpercaya. Oleh kerana itu mereka menerima keputusan-keputusan baginda dalam perselisihan di antara mereka dan rela dengan ketetapan RasulullahSallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana keputusan tentang perletakan Hajarul Aswad yang dibuat oleh Baginda.

3.Tabligh/Menyampaikan
Maksud tabligh ialah menyampaikan. Para rasul menyampaikan wahyu yang diterima daripada Allah, di mana menyampaikan itu menjadi sifat yang istimewa kepada mereka. Mustahil mereka menyembunyikan wahyu Allah. Mereka tetap menyampaikannya walaupun menghadapi kezaliman dan kekejaman manusia.
Semua rasul mengisytiharkan dengan berterus-terang dan bersemuka bahawa mereka menyampaikan perintah Allah dan menasihati umatnya. Begitu juga kita dapati Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallamdiperintahkan supaya menyampaikan perintah Allah kepada umat manusia. Para rasul sentiasa menyampaikan segala ajaran, peringatan, hukum-hukum, berita gembira dan berita buruk kepada seluruh umatnya.

4.Fatonah/Bijaksana
Fatonah bermaksud cerdik dan bijaksana. Setiap rasul yang dipilih oleh Allah wajib bersifat dengan sifat fatonah, malah secara luar biasa dalam memahami ajaran Allah. Para rasul memiliki kekuatan ingatan dan ketajaman akal yang luar biasa, sehingga tidak ada sesiapa yang mampu menandingi mereka, kerana mereka telah diamanahkan untuk menyampaikan agama Allah, menyatakan hukum-hukumnya, menghapuskan segala kekeliruan, menegakkan iman dalam hati manusia dengan hujah-hujah yang kuat serta membatalkan segala penentangan ke atas agama Allah.
Sifat fatonah adalah sifat yang saling berkait dengan sifat tabligh, kerana dalam menyampaikan ajaran Allah para pesuruh Allah mesti menghadapi perbahasan dan perbincangan yang sengit dengan musuh-musuh mereka. Dengan sifat fatonah itu wajar bagi mereka melaksanakan perintah Allah.
Jika kita mengkaji sejarah hidup Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam, kita dapati baginda seorang yang bijak dan dapat memberi hujah yang kuat. Tidak ada seorang pun yang dapat menandinginya, sehinggakan kata-kata baginda (hadis) menjadi hujah yang kuat hingga akhirat kelak.

0 komentar :

Posting Komentar

 
Toggle Footer